Tuesday, May 03, 2011

:: P ::

:: Passata ::
Passata diperbuat daripada tomato masak yang telah dijadikan puri dan dibuang kulit dan bijinya. Ia dijual di dalam balang kaca.


:: Parut ::
Contohnya memarut kelapa atau sayur-sayuran menjadi hirisan kecil. Ia menggunakan mata pisau yang bergerigi.


:: Pembalut telur ::
Merupakan pembungkus inti popia. Diperbuat daripada tepung gandum, kuning telur, dan garam.


:: Pilaf ::
Nasi yang dimasak bersama dengan stok ayam, bawang dan perasa.


:: Pisau Mentega ::
Mempunyai saiz yang kecil dan tidak tajam. Digunakan untuk memudahkan sapuan mentega di atas roti atau sebagainya.


:: Panna Cotta ::
Istilah Itali untuk krim ringan yang dimasak menjadi kastad telur dan biasanya diperisakan dengan karamel. Ia dihidangkan sejuk bersama-sama dengan buah-buahan dan sos coklat.


:: Pisang ::
Pisang berasal dari Asia Tenggara. Kini taburannya hampir di semua kawasan tropika dan subtropika. Benih pisang diperoleh daripada anak di pangkal pokok ataupun melalui kaedah kultur tisu. Pokok pisang perlu banyak baja, terutamanya kalium. Pokok yang kurang baja menghasilkan tandan dan sikat yang jauh lebih kecil, bilangan dan saiz buah juga kurang. Buah pisang yang muda ada pelbagai warna. Buah masak pula ada yang kuning muda, kuning tua, kemerah-merahan, hijau kuning dan hijau. Buah pisang yang masak boleh dimakan mentah, dibuat kek, bubur, jeli, cucur kodok, pisang goreng dan kerepek pisang. Jantung pisang dijadikan ulam manakala daun pisang digunakan untuk mengilatkan lantai dan membungkus makanan.


:: Pulasan::
Buah Pulasan atau nama sainsnya Nephelium mutabile adalah sejenis buah yang menyerupai bentuk dan rasa seperti buah rambutan. Tetapi biji buah pulasan adalah lebih keras, dan isinya agak kering dan kasar berbanding buah rambutan. Buah pulasan diselitupi bulu yang lebih keras berbanding rambutan. Di Filipina ia dikenali sebagai bulala. Buah Pulasan dimakan begitu sahaja, ia sesedap rambutan dan laici, tetapi amat jarang dijumpai diluar Asia Tenggara


:: Pucuk Manis ::
Pucuk manis atau cekur manis atau asin-asin tidak asing lagi bagi masyarakat desa dan adalah sayuran tradisional yang sangat digemari. Pucuk atau daun yang masih muda biasanya disayur manis berencah ikan bilis bagi menambah rasa manis sayur ini. Daun muda juga sedap dijadikan sayuran seperti dijadikan masak lemak, sup dan digoreng bersama udang kering. Pucuknya muda pula begitu rangup dan mempunyai rasa seakan-akan asparagus. Sayur ini sering juga dimasak lemak dengan ubi keledek, cendawan sisir atau sayuran tradisional lain. Selain dari dijadikan sayuran ia juga boleh dijadikan pewarna makanan dan warna yang dihasilkan oleh daun cekur manis lebih gelap dari warna daun pandan. Ia juga selalu dicampur dengan perahan daun pandan untuk mendapatkan warna yang lebih gelap. Keistimewaan tumbuhan ini ialah walaupun telah dimasak warna hijau gelapnya tetap kekal. Daunnya mengandungi banyak provitamin A karetinoid,terutamanya daunnya yang baru dipetik dan masih segar. Ia juga mengandungi vitamin B, C protein dan mineral. Kandungan nutriennya semakin tinggi jika daunnya semakin tua.


:: Pucuk Paku ::
Ketika pucuk paku tumbuh, bahagian hujung luarnya melingkar membentuk bulatan yang menjadi bahagian dedaun hijau jika dibiarkan hingga matang. Pelepahnya dipetik ketika pokok masih muda sebelum lingkaran tadi terbuka memberikan sayuran yang kecil dan lembut. Pucuk paku harus dibasuh dan hujungnya dipotong sebelum dimasak. Ia boleh distim, masak lemak, goreng, reneh atau digoreng berlemak. Ia mempunyai rasa seakan campuran antara aspragus-kacang hijau-bendi dan tekstur yang seakan bergetah. Ia boleh dimasak sebagai hidangan utama atau sampingan, atau diguna mentah dalam salad. Pilih pucuk yang kecil, tegang dan berwarna terang, bukan lembik dan kekuningan. Sejukkan dengan membungkus cermat tetapi jangan lebih dari dua hari. Pucuk paku adalah sumber baik untuk vitamin A dan C.


:: Pucuk Midin ::
Midin atau nama saintifiknya Stenochlaena palustris adalah tumbuhan liar yang biasa didapati di kawasan paya gambut dan air tawar serta hutan belukar. Pengambilan sayur midin sebagai makanan dijamin selamat dan mengandungi pelbagai khasiat dengan setiap 100 gram pucuk muda mengandungi 4.8 mg zat besi, selain mengandungi vitamin A (beta karotene) yang penting bagi menguatkan penglihatan dan mencegah rabun malam. Selain itu, tumbuhan liar ini kaya dengan mineral terutama fosforus dan kalium. Perubatan secara tradisional percaya pucuk midin mampu mengubati masalah kesihatan seperti penyakit ciri birit dan daunnya yang direbus baik dimakan sebagai ulam.


:: Pucuk Putat ::
Nama botani pokok putat ialah Barringtonia spp. Putat juga dikenali dengan pelbagai nama seperti apalang, putat, putat aying, butut darat, penggung, putat sungai, putat ayam, putat ayer, kye-bin, kyi, som-pawng, chik ban, chik suan, dan sebagainya. Bentuk pucuk putat agak bujur panjang dengan bentuk bergerigi halus di tepi daunnya. Pucuk putat muda yang sesuai dibuat ulam bewarna agak merah ungu dan akan berubah menjadi hijau muda dan seterusnya hijau gelap apabila cukup tua. Pucuk putat muda inilah yang cukup digemari untuk dijadikan ulam, dihiris halus untuk ramuan nasi ulam atau nasi kerabu. Ramai peminat laksa Utara yang suka mencampurkan potongan pucuk putat ke dalam makanan laksa mereka. Pucuk putat dikatakan menambahkan kesedapan laksa Utara. Pucuk putat yang muda dikatakan cukup berkhasiat untuk kesihatan kulit, awet muda serta melancarkan perjalanan darah.


:: Pandan Serani ::
English : Cordyline froticosa
Boleh mengubati sakit perut dengan meminum air rebusan daunnya.


:: Pegaga ::
Pegaga ialah herba jenis merayap yang kecil dan hidup semusim. Batangnya jenis merayap dan melilit antara satu sama lain. Bunganya berwarna merah jambu kemerah-merahan, muncul dalam jambak kecil yang bulat berhampiran dengan permukaan bumi. Akar pegaga terdiri dari rizom yang menjalar lurus kebawah. Pegaga dimakan mentah sebagai sayuran ulaman. Pegaga dipercayai mempunyai khasiatnya sangat banyak seperti untuk awet muda: daun pegaga dimakan mentah sebagai salad, untuk mengurangkan tekanan darah tinggi : air rebusan pegaga diminum, Sebagai tonik: air rebusan atau jus daun pegaga diminum dan merawat luka ulcer: pupuk pegaga disapukan pada luka.


:: Peria ::
Peria adalah buah yang mempunyai bentuk aneh dan sering digunakan sebagai sayuran dalam masakan Asian. Ia berbentuk yang seperti timun tetapi dengan kulit yang bersusuk dan berbenjolan. Buah ini selalunya dimakan ketika berwarna hijau tetapi ada juga yang memakannya apabila ia sudah masak dan berwarna kekuningan walaupun rasanya lebih pahit. Isinya yang halus boleh digoreng berlemak, dicelur dan dimakan sebegitu sahaja, atau ditambah ke dalam sup dan digoreng. Buah ini jarang dicampur dengan sayuran lain kerana rasa pahitnya yang kuat.


:: Petai ::
Petai adalah kacang panjang rata dengan bijian benih berwarna hijau bersaiz seakan badam yang gemuk. Ia dijual dalam 'papan', masih dalam karungnya, atau bijiannya tersedia dijual di dalam bungkusan beg plastik. Ia juga dieksport dalam balang atau tin dengan dijeruk di dalam air garam. Petai sesuai digabungkan dengan bahan yang turut mempunyai rasa yang ‘kuat’ seperti bawang putih, cili, udang kering, atau dicampurkan ke dalam kari. Apabila muda, karungnya rata kerana bijian belum lagi terbentuk. Pada peringkat ini, ia boleh dimakan mentah, goreng atau jeruk. Petai menerima gelaran ‘kacang busuk’ kerana baunya yang kuat dan melekat di badan serta mulut. Sesetengah kajian menunjukkan petai mengandungi tiga jenis gula semula jadi-sucrose, glucose dan fructose. Digabungkan dengan serat, petai membekalkan peningkatan tenaga dengan segera. Kajian menunjukkan dengan hanya dua hidangan petai sudah mencukupi untuk memberikan tenaga untuk 90 minit senaman.


:: Petola::
Petola adalah sejenis sayuran yang cepat tumbuh, bermusim panjang, beriklim panas dan ditanam seperti tanaman pokok anggur. Buahnya ditanam untuk dipetik atau dituai sebelum usia matang dan dimakan sebagai sayuran. Semua jenis petola boleh dimakan, tetapi haruslah sebelum ia matang. Petola yang matang terlalu berserat dan keras. Petola dimasak sebelum dimakan dan isinya lembut dan sedap.


:: Pati Ayam Tumix ::
Pati ayam tumix adalah salah satu jenama serbuk pati ayam yang berada di pasaran Malaysia. Rasa pati ayamnya yang lebih sedap berbanding dengan serbuk pati ayam yang lain.



:: Padi ::
English : Oryza sativa
Tumbuhan ini sangat berguna jika anak kecil anda menghidapi penyakit kulit seperti cacar atau campak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.