Tuesday, May 03, 2011

:: R ::

:: Roti Bawang Putih::
English : Garlic Bread
Kepingan roti yang digril dan disapu dengan minyak zaitun dan bawang putih.


:: Roti Pita ::
English: Pita Bread
Berbentuk bujur bulat dan leper. Ia terkenal di Timur Tengah. Ia boleh dibuka di tengahnya membentuk poket dan diisikan dengan pelbagai inti. Di Timur Tengah ia menjadi makanan utama dan dinikmati bersama ‘ganoush’ dan ‘hummus’ sejenis masakan orang Arab.


:: Rouille ::
English: Rouille Sauce
Sejenis sos yang mempunyai rasa yang tajam dan kekampungan. Ia menjadi perasa kepada Bouillabaisse. Ia dibuat dengan bawang putih mentah, cili api, dan roti sehingga ia membentuk satu adunan. Selepas dimasukkan minyak zaitun muda agar rasanya sebati.


:: Rumpai laut ::
English: Seaweeds
Rasanya tawar, berbentuk rumpai laut kering berwarna hitam.


:: Rigatoni ::
English: Rigatoni Pasta
Pasta bertulang besar seperti tiub-tiub dan dipotong lurus melintang (dari secara pepenjuru seperti penne). Rigatoni adalah pasta yang enak, agak tebal berkrim dan dimasak dengan sos. Boleh juga dibakar untuk rasa yang lebih sedap.


:: Roti jagung ::
English: Corn Bread
Sejenis roti yang diperbuat daripada tepung jagung kisar. Roti jagung mempunyai pelbagai perisa seperti keju, daun bawang dan sebagainya. Biasanya ia dibakar di dalam kuali segi empat tepat. Ia disajikan dengan pelbagai jenis hidangan lain.


:: Roti Tidak Beragi ::
Roti yang dibuat tanpa 'penaikan', iaitu tiada bahan penaik seperti yis atau serbuk penaik. Contoh roti tidak beragi ialah capati dan tortilla.


:: Roselle ::
English: Roselle
Hibiscus sabdariffa L. atau lebih dikenali dengan nama roselle dikatakan berasal dari India. Salut bunga ini boleh diproses menjadi pelbagai jenis makanan seperti halwa, jeli, sos, jeruk dan serbuk atau helaian minuman roselle. Roselle mengandungi vitamin C melebihi 20 kali ganda berbanding buah limau. Malah roselle juga dikatakan berupaya merawat demam panas, selesema, resdung, asma dan insomnia. Selain itu, roselle juga bertindak sebagai pencegah penyakit kardiovaskular, anti penuaan dan anti kanser.


:: Rebung ::
English: Bamboo Shoots
Rebung adalah ramuan tradisional orang Asia. Ia merupakan tumbuhan muda atau pucuk yang berwarna putih susu, yang dituai daripada satu spesies tumbuhan buluh yang boleh dimakan. Rebung disediakan dan disaji sebagai sejenis sayuran. Pucuk ini diambil dengan segera ketika ia tumbuh di atas tanah, iaitu ketika ia masih muda, lembut dan rapuh. Rebung boleh didapati secara segar atau di dalam tin. Kadang-kala rebung yang ditinkan akan dimasak di dalam perencah atau perasa seperti sos soya. Rebung yang ditinkan digunakan dalam pelbagai jenis masakan dari bergoreng hingga ke masakan utama, menambahkan rasa rangup kepada sayuran yang mempunyai rasa yang agak hambar.


:: Rosemary ::
English: Rosemary
Rosemary ialah herba berbau harum dengan daun berbentuk jarum. Ia berasal dari Mediterranean. Ia banyak digunakan dalam masakan tradisional Mediterranean. Rasanya sedikit pahit dan tajam, tetapi sesuai dengan pelbagai jenis makanan. Apabila dimasak, ia mengeluarkan bau seolah mustard. Ia turut digunakan untuk menambah perisa kepada bbq. Rosemary mempunayi rasa unik dan kuat, yang membuktikan bahawa herba tidak semestinya sesuai untuk sup atau sayur sahaja. Ia mempunyai rasa seperti pudina tetapi lebih manis, dengan sedikit sentuhan halia. Hanya sedikit penggunaannya dan ia mampu membangkitkan rasa pastri atau sos. Rasanya sesuai dengan ayam, ikan, daging lembu, dan daging kambing. Rosemary menaikkan rasa tomato, bayam, kacang sepat, cendawan, keju, telur, dan ia sering digabungkan dengan herba lain seperti daun kucai, thyme, pasli, dan daun bay. Ia menambahkan perasa sup kentang dan terung, serta untuk perap, salad, dan sos. Kedua-dua bunga dan daun rosemary boleh digunakan untuk menghias atau memasak. Hancurkan atau cincang daunnya sebelum ditabur atau digaul bersama makanan. Rosemary kaya dengan zat besi, kalsium, dan Vitamin B6.


:: Rempah Sup ::
Rempah sup adalah campuran rempah untuk membuat sup yang terdiri daripada ketumbar,jintan manis, serbuk jintan putih, kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih & pelaga dan serbuk biji poppy.


:: Rempah Kerutuk::
Add caption
Rempah kerutuk ialah campuran rempah-rempah yang digunakan untuk memasak kerutuk. Ia dijual di pasaraya untuk memudahkan proses memasak kerutuk. Ia boleh didapati dalam bentuk serbuk atau pes.


:: Rempah Kuzi ::
Rempah kuzi ialah campuran segera rempah-rempah untuk membuat masakan Kuzi. Ia boleh digunakan untuk memasak daging atau ayam. Kuzi selalunya dimakan bersama roti, atau boleh juga dibuat hidangan bersama nasi. Rempah kuzi dijual di dalam paket di pasaraya.


:: Rempah lima beradik ::
English: Five Spice Powder
Sejenis campuran rempah yang popular sejak dulu lagi. Ia mengandungi bunga lawang, bunga cengkih, kayu manis, biji benih, jintan hitam dan biji lada Szechuan


:: Roti Itali ::
English: Italian Bread
Sejenis roti Itali yang mempunyai lapisan kerak yang keras dan agak liat sedikit. Ia diperbuat daripada tepung, air, yis dan garam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.