Tuesday, May 03, 2011

:: L ::

:: Labu Air ::
English: Bottle Gourd
Labu Air berkulit hijau muda yang licin, dan berisi putih. Hanya buah yang muda dan lembut digunakan untuk memasak. Buang kulitnya dan buang bahagian lembik berbiji di tengah, sebelum dimasak. Labu Air yang muda sering dijadikan sayuran. Isinya lembut dan rasanya sederhana, menjadikannya sesuai dimasak bersama bahan yang berperisa kuat atau tajam. Labu Air boleh dimasak pelbagai cara, samada digoreng, berkuah, atau dibuat sup. Apabila membeli labu air, pastikan ia berwarna hijau dan lembut. Pilih yang berkulit sedikit rapuh dan tidak keras.

:: Labu Manis ::
English: Pumpkin
Lepat, pengat, sayur tumis, serawa dan masak lemak adalah antara resepi masakan enak dan lazat masyarakat Malaysia yang menggunakan labu sebagai bahan utamanya.
Labu menjadi pilihan kerana rasanya yang berlemak dan sedap dimakan terutama apabila dijadikan masakan. Tekstur buah labu biasanya padat, renyah dan berasa manis, serta banyak mengandungi air dan mempunyai isi yang berwarna merah atau kuning. Buah labu tidak mengandungi kolesterol dan 90 peratus kandungannya adalah air. Ia kaya dengan vitamin beta-karotina yang bertindak sebagai agen antioksidan yang dapat mengelak daripada radikal bebas, salah satu penyebab kanser.

:: Lada Benggala ::
English: Capsicum/ Bell Pepper
Lada benggala terkenal sebagai lada yang pedas dan manis. Ia berwarna hijau ketika mula tumbuh, dan, bergantung kepada jenis, bertukar menjadi merah, kuning, jingga, ungu, putih, atau coklat apabila matang dan masak. Ketika muda, lada benggala mempunyai rasa sedikit pahit. Ia bertukar menjadi kemanisan apabila matang, tapi tidak semestinya ketika masak ranum. Jika tidak dipetik ketika matang tetapi dibiarkan tumbuh ranum, rasanya akan menjadi lebih manis. Lada benggala boleh dimakan dengan mentah dan selalunya dihidang sebagai snek atau salad, menjadi penambah perisa dengan teksturnya yang rangup. Ia boleh dibakar, dipanggang, ditumis, atau digoreng bersama bahan lain. Lada benggala yang dibakar sangat sesuai untuk dibuat sos, dimasukkan dalam pasta, salad, dan sandwich. Apabila dibakar, lada benggala akan mengeluarkan rasa manisnya, menambah perisa kepada pelbagai masakan.

Tip:
Pilih lada benggala yang berkilat, dengan kulit warna sekata dan tidak lebam. Elakkan yang berkedut. Ia boleh disimpan selama seminggu di dalam beg plastik dan diletakkan di dalam peti sejuk. Lebih ranum lada benggala ketika dipetik, lebih kurang masa segarnya.

:: Lada Hitam ::
English: Black Pepper
Lada hitam adalah buah beri yang belum masak dan telah dikeringkan. Beri dipetik ketika masih kehijauan, dibiarkan ‘menapai’ dan kemudian dikeringkan di bawah sinaran matahari hingga mengecut dan bertukar warna menjadi coklat kehitaman. Lada hitam mempunyai aroma tajam dan menusuk, serta rasa asli pedas berempah. Lada hitam elok dikisar dan ditabur terus ke atas makanan. Dengan masakan pedas, ia bagus dicampurkan di penghujung masakan supaya aroma masakan tersebut dikekalkan. Lada putih lebih banyak digunakan di dalam kuah sos warna putih berbanding lada hitam kerana sudah tentunya lada hitam akan menyebabkan sos putih itu kelihatan berbintik.

:: Lada Putih ::
English: White Pepper
Lada putih dipetik apabila beri sudah masak. Kulit luarnya dialihkan dengan merendam beri di dalam air, sehingga kulit beri terkopek, atau diletakkan di bawah mata air yang mengalir menghasilkan lada yang putih dan bersih. Ia mempunyai rasa yang lebih lembut dan nyaman berbanding lada hitam. Lada putih digunakan sepenuhnya sebagai bahan dalam membuat rempah jeruk dan perapan. Lada putih yang dikisar (serbuk) digunakan di dalam makanan yang berwarna lembut seperti sup dan kuah sos. Kedua-dua lada hitam dan putih diperoleh daripada tanaman lada atau beri iaitu Piper nigrum yang dikeringkan bijinya. Lada elok dikisar dan ditabur terus ke atas makanan. Dengan masakan pedas, lada bagus dicampurkan di penghujung masakan supaya aroma masakan tersebut dikekalkan. Lada putih lebih banyak digunakan di dalam kuah sos warna putih berbanding lada hitam kerana sudah tentunya lada hitam akan menyebabkan sos putih itu kelihatan berbintik.

:: Laksa ::
English: Laksa
Laksa yang belum dimasak ini direbus terlebih dahulu sebelum dihidang bersama kuah laksa. Hampir keseluruhan jenis laksa menggunakan laksa kering ini, kecuali laksam dan laksa johor.


:: Laici ::
English: Lychee
Sejenis buah yang isinya manis dan putih. Ia berair dan biasanya dinikmati begitu saja atau dijeruk di dalam tin.


:: Lassi ::
English: Lassi
Minuman tradisional orang India yang diperbuat daripada susu mentega yang dimasak di dalam periuk tanah. Kini ia diperbuat daripada dadih cair ditambahkan sedikit gula atau sirap agar manis.


:: Langoustine ::

English: Dublin Bay Prawn
Nama Perancis untuk Dublin Bay udang (bukan udang biasa tetapi seekor udang kara kecil yang dinamakan Nephrops norvegicus). Ia turut dikenali sebagai udang kara Norway atau udang besar. Ia boleh didapati secara segar atau beku, bercengkerang atau tidak.


:: Lesitin ::
English: Lecithin
Sejenis produk yang dihasilkan daripada penapisan minyak kacang soya. Ia juga boleh ditemui daripada telur, daging, bayam dan kekacang. Biasanya lecithin digunakan secara komersial di dalam proses pembuatan makanan.


:: Laktosa ::
English: Lactose
Laktosa Sejenis gula yang dihasilkan daripada susu, turut dikenali sebagai "gula susu". Rasanya sedikit manis dan merupakan gula semulajadi yang digunakan dalam formula bayi dan gula-gula.


:: Lovage ::
English: Lovage
Juga dikenali sebagai parsli laut. Daun-daun dan batang lovage menjadi penambah rasa untuk sup, stew dan stok. Ia juga boleh dijadikan penambah rasa bagi sajian kentang Bisque Sejenis sup berkrim dan pekat. Diperbuat daripada udang kara atau ikan pari dan diadun dengan rempah ratus dan krim masakan.


:: Lobak Merah ::
English: Carrot
Lobak merah adalah sejenis sayur berumbi atau tumbuh di bawah tanah. Ia adalah ahli keluarga parsli. Lobak boleh dimakan mentah, secara seluruh, dipotong, diparut atau dicampur ke dalam salad untuk menambahkan warna dan tekstur. Ia sering dipotong dan direbus, digoreng atau stim, dan dimasak dalam sup atau stew, serta sebagai makanan bayi dan haiwan peliharan tertentu. Lobak yang diparut digunakan dalam membuat kek lobak. Daun lobak pula boleh dimakan sebagai ulaman tetapi jarang dimakan. Lobak pada mulanya ditanam untuk tujuan ubatan bukan sebagai makanan. Ia mempunyai kadar beta carotene (vitamin A) yang tertinggi di antara sayuran lain.


:: Lobak Putih ::
English: White Radish
Lobak putih adalah lebih besar dan lembut berbanding lobak merah. Berasal dari keluarga crucifera, lobak putih juga sesuai dimakan sebagai ulam terutamanya di kalangan mereka yang mengalami masalah kencing tidak lawas. Lobak putih mentah boleh dihidang dalam salad, diparut dan dihidang bersama sushi, atau diperam di dalam cuka. Lobak putih yang dimasak sering dijadikan bahan dalam masakan sup atau stew, ataupun digoreng.  Lobak putih juga dikatakan mengandungi kandungan khasiat yang tinggi dan sering dikaitkan dengan mereka yang mengalami masalah penghadaman. Ia bertindak menentangbakteria, menguatkan limpa serta mempunyai kesan-kesan antipiretik.


:: Lobak Putik ::
English: Baby Carrot
Lobak Putik adalah lobak-lobak kecil yang dikutip dari akarnya. Lobak yang tidak matang ini menjadi pilihan sesetengah orang kerana mempunyai rasa, tekstur dan nutrisi yang lebih baik dari lobak biasa. Lobak yang kecil ini bertahan teksturnya dalam masakan bergoreng, namun cepat dilembutkan untuk kek dan biskut-biskut, serta memberikan warna dan rasa rangup ke dalam salad, sup dan stew. Tambahkan segenggam lobak ini ke dalam sup, dan masak hingga cukup lembut untuk memberi rasa yang lebih sihat dan berkhasiat. Untuk menambahkan ke dalam ramuan kek dan doh biskut: Lembutkan lobak ini di dalam gelombang ketuhar dengan dicampurkan sedikit air, kemudian keringkan dan tambahkan ke dalam ramuan atau doh untuk memberi lebih rasa manis, tekstur dan lembapan.


:: Lengkuas::
English: Galanggal
Lengkuas adalah rizom yang sekeluarga dengan halia. Lengkuas banyak digunakan di Malaysia dan Indonesia sebagai bahan perasa dan rempah. Ia digunakan seperti serbuk halia - ditumbuk atau dihancurkan. Ia mempunyai rasa pedas seakan-akan halia dan lada. Jika dibandingkan dengan halia, lengkuas mempunyai tekstur yang lebih kental dari halia segar dan kulit kurang berserat. Lengkuas banyak digunakan dalam masakan tempatan seperti gulai. Ia mempunyai bau damar yang lembut, seakan-akan pokok pain. Seperti halia, lengkuas adalah rempah yang sering digunakan untuk menyahbaukan ikan dan daging.


:: Limau Kasturi ::
English: Calamansi Lime
Limau Kasturi (Citrus microcarpa) berbentuk seperti buah limau nipis dengan saiz yang lebih kecil. Baunya harum dan menyegarkan. Sering dijadikan minuman sejuk bersama air batu. Ia dipercayai mampu menyejukkan badan dan menghilangkan dahaga dengan lebih berkesan.


:: Limau Nipis ::
English: Lime
Limau nipis (nama botani: Citrus aurantifolia) merupkan sejenis tumbuhan yang buahnya dijadikan air minuman dan juga dicampur dalam masakan. Limau nipis dipercayai berasal dari India dan Myanmar atau Asia Tenggara. Kini ia ditanam hampir di seluruh kawasan tropika dan subtropika. Buahnya terkenal sejenis perisa yang penting dalam masakan Melayu seperti mee rebus, mee bandung, dan lain-lain. Pokoknya pula adalah lebih kurang 5 m tinggi. Limau nipis juga boleh dijadikan air yang menyegarkan untuk diminum semasa hari panas terik. Ia turut dicampurkan kepada air teh o bagi menambahkan kelazatan. Jus buah limau nipis membunuh kuman disenteri, kolera dan tifoid. Asid sitrik yang terkandung dalam limau nipis berkesan menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Asid sitriknya juga boleh digunakan untuk melegakan perut dan melancarkan penghadaman. Limau nipis juga mengandungi vitamin A.


:: Limau Purut ::
English: Kaffir lime
Walaupun jus limau purut jarang digunakan dalam masakan, namun kulitnya yang mempunyai kadar minyak aromatik yang tinggi, amat penting di dalam pembuatan pes kari dan salah satu sebab mengapa masakan kari Thai mempunyai rasa segar yang unik. Disebabkan rasanya yang mampu menenggelamkan rasa bahan-bahan lain di dalam masakan, ia haruslah digunakan secara bersederhana, diparut atau dipotong hingga halus, atau ditumbuk di dalam batu lesung dengan bahan-bahan pes lain.


:: Longan::
English: Longan
Longan adalah sejenis pokok berbuah. Nama saintifiknya ialah Dimocarpus longan dari keluarga Sapindaceae. Pokok longan berasal dari Asia Tenggara. Buah longan boleh dimakan, atau dijadikan ubatan dalam tradisi orang Cina.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.